Alia
nampak dengan jelas, gadis itu keluar dari perkarangan rumah Ikwan. Alia juga
nampak Ikwan menghantar gadis cantik itu dengan lambaian dan senyuman yang
ranum. Kata Ikwan, gadis itu adalah kawan kecilnya. Tapi sejak gadis itu
datang, Ikwan kian menjauh darinya, Ikwan kerap keluar bersama gadis itu. Hati
Alia sakit!
Ikwan
jarang menelefonnya kini. Malah, kalau Alia call di rumah, selalu saja keluar.
Handsetnya juga selalu suruh tinggalkan pesanan suara saja, bila ditanya
kenapa, kata Ikwan habis bateri. Takkan sepanjang minggu habis bateri? Kalau
dapat call pun Ikwan cakap sikit saja dengannya. Seolah tidak ada lagi topik
yang menarik hendak di kongsikannya bersama Alia. Alia rasa bahang perubahan
sikap Ikwan. Gara-gara kehadiran gadis cantik yang pulang dari London itu.
Kononnya kawan lama, entah-entah kekasih lama!
“Gadis
tu kan baru je datang dari luar negara, lagi pun mereka memang sahabat rapat
dari kecil, memanglah banyak yang nak dibualkan setelah sekian lama tidak
berjumpa.” Alia mahu percaya kata-kata Nina yang memujuknya itu. Tapi cemburu
dihati Alia masih juga meronta-ronta tak mahu kalah. Tak boleh jadik nih!
“Tapi
Nina.. Wan dah berubah! Dia macam dah lupakan Lia.. macam dia dah malas nak
jumpa atau sekurang-kurangnya berbual dengan Lia.. sejak kedatangan kawan
baiknya yang cantik tu!” Geram Alia bila teringatkan gadis itu. Sakit hati Alia
bila terbayang wajah cantik itu. Memang dia benar-benar cantik! Hidungnya lebih
mancung dari Alia, kulitnya putih dan halus. Bukan seperti Alia yang berkulit
sowo matang. Matanya besar dihiasi bulu mata yang panjang dan lentik serta
keningnya hitam lebat. Pipinya gebu dan licin macam kulit tomato. Bibirnya
mungil dan merah jambu tanpa perlu disapu gincu. Rambutnya pula panjang lurus
separas dada. Hati lelaki mana yang tidak tertawan. Alia tahu beza antara dia
dan gadis itu bagaikan langit dengan bumi. Alia pandang ke dalam cermin,
pantulan dari cermin memaparkan wajahnya yang masam mencuka. Dia lihat
keningnya yang nipis, matanya yang kecil dan bulu mata yang pendek. Kulitnya
tidak sehalus dan segebu gadis itu. Bibirnya pucat saja. Kalau tidak memakai
gincu langsung tidak menarik. Alia mula bencikan rupanya! Dia ingin kelihatan
cantik, lebih cantik dari gadis itu!
Alia
bandingkan pula dirinya dengan gadis itu, dia hanya mendapat Diploma dalam
bidang Pengurusan dan sekarang jadi kerani biasa di sebuah syarikat swasta.
Gadis itu pula baru habis belajar di luar negara dengan gelaran Sarjana Muda
Undang-undang. Kalau dapat kerja nanti, pasti gajinya menjangkau angka dua
ribu. Ah! Gadis itu umpama permata yang berharga, manakala Alia bagai pasir
yang bertaburan dijalanan. Alia mengeluh lagi.
“Pasti
Ikwan tidak berminat untuk bersamaku lagi.. Ikwan sudah menjumpai gadis yang
sesuai dengan dirinya..” kata Alia sendirian. Alia sedar, Ikwan tidak setaraf
dengannya, lelaki itu berkerja sebagai Timbalan Eksekutif di syarikat ibunya.
Mereka adalah golongan berada, bukan macam Alia yang sederhana. Namun hati Alia
masih berharap, dia berharap Ikwan akan kembali mesra seperti dulu. Alia ingat
perkenalan mereka yang singkat tapi bermakna.
“Encik Haris ada?” itulah
kata-kata Ikwan ketika masuk ke pejabatnya untuk menemui bos Alia, yang
merupakan pelanggannya.
“ Emn.. dia keluar
sekejap! Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” ujar Alia sambil mengkagumi rupa
paras lelaki yang berdiri didepannya. Ikwan kacak sekali. Senyumannya lembut
dan suaranya lunak.
“Emn.. tak apalah! Biar
saya tunggu dia..”
“Oh.. kalau begitu..
silakan..”
Ikwan
duduk di meja menunggu yang menghadap meja Alia, Alia sesekali melirik pada
Ikwan yang membelek-belek majalah yang tersedia di atas meja itu. Bila sedar
dirinya diperhatikan, Ikwan melemparkan senyuman menawannya. Alia jadi tersipu
malu. Tidak lama kemudian bosnya Encik Haris kembali. Ikwan segera masuk ke
bilik pejabat Encik Haris.
Waktu
tengahari, Alia turun makan di restoran berhampiran, ketika Alia menunggu
pesanannya, tiba-tiba satu suara menyapa.
“Boleh saya join kamu?”
Alia agak terkejut bila
melihat Ikwan berdiri di tepi mejanya.
“Semua
meja telah penuh..” ujarnya lagi dengan senyumannya yang mencairkan hati Alia.
Alia agak tergagap tetapi mempersilakan Ikwan duduk semeja dengannya. Mereka
mula berbual dan memperkenalkan diri masing-masing. Mula-mula perbualan mereka
agak lembab, tapi Ikwan pandai berjenaka. Alia tak henti-henti ketawa
dibuatnya. Ikwan menyerahkan kad namanya pada Alia, dia juga membayar semua
harga makanan.
“Terima kasih, belanja
saya makan..” ujar Alia sebelum mereka berpisah.
“Call saya kalau ada
masa..” laung Ikwan sebelum pergi. Alia menggangguk. Hatinya berbunga riang.
Sejak
hari itu, mereka kerap berhubung. Ikwan selalu bercerita tentang apa saja
dengannya. Ikwan akan meluahkan apa saja yang ingin dikongsikannya pada Alia.
Lama kelamaan hubungan Alia dengan Ikwan menjadi erat. Putik-putik cinta
bersemi. Ikwan melamar cintanya pada hari lahirnya yang ke dua puluh lima
tahun. Dengan sejambak bunga, kek harijadi dan seutas rantai. Alia tidak akan
lupa betapa bahagianya hati wanitanya hari itu. Bagaikan seorang puteri yang
mencapai impiannya.
Tapi itu dulu, sebelum kehadiran gadis cantik yang baru pulang dari luar
negara. Kini Ikwan semakin sibuk. Dia tidak ada masa untuk menghubungi Alia.
Dia sudah ada teman lain untuk berkongsi cerita mahu pun masalah. Kalau dulu,
Alialah tempat mengadu bila hatinya resah atau terlalu penat dengan kerja, kini
ada gadis lain yang mengambil alih peranan itu. Alia semakin terkilan.
***************
Alia
tidak menghubungi Ikwan lagi selepas dia ternampak gadis itu keluar dari rumah
Ikwan. Alia tidak mahu menjadi muka tembok yang tidak tahu malu. Biarlah Ikwan
menghubunginya jika lelaki itu masih ingat padanya. Alia ingin menganggap
hubungannya dengan Ikwan sudah berakhir.
Dia
mengambil keputusan itu setelah memikirkannya masak-masak. Walau pun tiada kata
putus antara mereka, Alia lebih rela daripada mendengar kata perpisahan dari
mulut Ikwan. Namun setelah dua minggu, Ikwan tidak juga menghubunginya. Hati
Alia semakin remuk redam.
“Hai Lia.. mendung je muka
kamu kebelakangan ni..” Sapa Harun, rakan sekerjanya.
“Kau jangan sibuklah!!”
“Eh! Marah?” Sakat lelaki
itu lagi
“Aku bukan apa Lia.. tapi
sebagai kawan, aku kesian juga tengok kau ni.. badan pun dah susut.. kau makan
hati ya?”
Harun bersuara lagi. Alia tantang muka Harun dengan tajam. Dia tidak suka orang
lain masuk campur dalam hal peribadinya.
“Aku
dah lama tahu hubungan kau dengan Encik Ikwan tu.. aku rasa baik kau lupakan
saja dia tu.. aku rasa kau pun tahu, Helina sudah balik dari luar negara. Si
cantik tu akan bertunang dengan encik Ikwan tak lama lagi.” Lancar benar Harun
menceritakan hal itu. Darah Alia rasanya tersirap hingga ke umbun-umbun. Dia
tidak menyangka hubungan Ikwan dengan gadis cantik itu sudah sampai ke tahap
bertunang.
“Dari mana kau dapat tahu
semua ni Harun?” tanya Alia was-was. Betul ke budak Harun ni? Banyak sangat dia
tahu tentang Ikwan.
“Kau hairan? Aku sepupu
Helina, memang la aku tahu banyak tentang dia dan Ikwan..” Sahut Harun dengan
yakin. Alia tertunduk, matanya mulai terasa panas. Ada manik-manik jernih yang
bertakung dibibir matanya. Sampai hati Ikwan!
Hendak bertunang pun Ikwan tidak memberitahunya.
“Mereka dijodohkan oleh
keluargakah?” tanya Alia lagi. Dia berharap Ikwan berbuat demikian kerana
terpaksa. Alia enggan menerima hakikat kalau Ikwan benar-benar mengkhianati
cintanya!
“Sudahlah Alia.. jangan
berharap lagi! Helina tu memang kekasih dia.. sebelum kau bersama Ikwan lagi.”
Hati
Alia hancur berkecai mendengar kebenaran itu. Jadi selama ini Ikwan menipunya.
Selama ini dialah pihak ketiga. Dia hanya sebagai boneka Ikwan kala Helina
tidak ada bersama. Cuma sandaran sementara saja! Patutlah Ikwan tidak
memperkenalkannya pada Helina bila Helina baru pulang. Ikwan kata kawan
sepermainannya dari kecil lagi baru pulang dari luar negara. Tapi sedikit pun
dia tidak bersuara untuk memperkenalkan Alia pada gadis itu, jadi memang
benarlah Helina adalah kekasih lama seperti jangkaan Alia!
Sakit
hati Alia terasa semakin dalam. Jantungnya seakan ditikam-tikam dengan pisau
yang amat tajam. Dia benci Ikwan. Dia benci Helina! Mengapa mereka melukakan
hatinya. Mengapa Ikwan mencambahkan cinta dihatinya, tapi kini dengan kejam
membunuh cinta itu tanpa belas kasihan!
“Kenapa dia tidak beritahu
aku?” kata Alia seolah-olah bertanya pada Ikwan.
“Entahlah Lia.. dia
mungkin takut kau akan berjumpa Helina dan mengaku sebagai kekasihnya.. pasti
hubungannya dengan Helina akan terjejas jika itu berlaku..”
Ada
benarnya juga kata-kata Harun itu, patutlah Ikwan enggan dihubungi. Dia takut
rahsia hubungannya dengan Alia terbongkar.
“Harun.. aku nak cuti
setengah hari, hari ini.. tolong bagitau Encik Haris, katakan aku tak sihat..”
Alia mengemas mejanya. Dia ingin pulang ke rumah dan menangis sepuas-puasnya.
Dia ingin meraung dan menjerit untuk melepaskan kesakitan yang sarat berbuku
didadanya. Harun mengangguk. Dia kelihatan amat bersimpati dengan Alia.
Alia segera mengambil
telefon bimbitnya dan mendail nombor Zarul, adik sepupunya.
“Kakak ni.. tolong ambil
kakak di pejabat!” kata Alia sebaik saja talian disambungkan.
“Ai! Awalnya.. ada apa hal
kak?”
“Kakak tak sihat hari ni..
kau di mana sekarang?”
“Saya masih di bandar ni..
ada temuduga pukul 11.00 a.m., habis temuduga nanti saya ambil kakak macam
mana?”
Alia
mengeluh. Dia ingin segera pulang ke rumah. Tapi Zarul pula sibuk. Adik
sepupunya itu baru tamat belajar dan sedang mencari kerja. Dia dihantar dari
kampung oleh ibubapanya untuk tinggal bersama Alia sementara mendapatkan
pekerjaan. Zarul akan menghantar dan mengambilnya dari kerja setiap hari. Alia
baru saja membeli sebuah kereta kancil tapi dia tidak mempunyai lesen memandu.
Nasib baiklah Zarul sudah mendapatkan lesen memandu, secara tidak langsung
Zarul menjadi pemandu sementara kepada Alia yang baru memohon lesen memandu dan
masih dalam proses pembelajaran.
“Tak apalah! Kakak naik
bas saja..”
“Eh! jangan lah..! Zarul
datang sekarang..”
“Kan kau nak temuduga..
nanti terlewat pula.. sekarang dah pukul 10.30 a.m..”
“Alah.. masih sempat!”
Talian terus diputuskan. Alia mengeluh. Zarul berkeras mahu menghantarnya
pulang meski pun dia ada temuduga. Alia terpaksa menunggu. Beberapa minit
kemudian terdengar bunyi hon di luar. Alia segera keluar dan masuk ke perut kereta.
“Tengok.. sudah pukul
10.40am.. mana sempat!” ujar Alia sambil menunjukkan jam tangannya pada Zarul.
“Sempat.. bukannya jauh!”
balas Zarul sambil ketawa kecil.
“Ha.. nak bawa laju lah
tu! Zarul.. kakak rasa baik Zarul pergi tempat temuduga tu, kakak tunggu di
kereta.” Cadang Alia.
“Emn.. idea yang baik..”
Zarul setuju. Kereta segera meluncur ke tempat yang dituju.
“Eh! Kau temuduga di
sini?”
Zarul angguk. Alia kenal
benar dengan bangunan itu. Bangunan itu adalah milik ibu Ikwan. Jadi Zarul
pergi temuduga di syarikat milik keluarga Ikwan. Alia benar-benar tidak senang
hati!
“Zarul kejap saja.. kakak
tunggu ya!” Zarul bergeges masuk ke dalam bangunan itu.
Alia
mendengar radio sementara menunggu Zarul masuk ke dalam. Tiba-tiba sebuah
kereta masuk parking benar-benar di sebelah keretanya. Alia macam kenal kereta
itu, dia menoleh memandang pemandunya. Alia tersentak, Ikwan! Lantas Alia
berpura-pura tidak melihat Ikwan. Alia menundukkan kepalanya sambil membaca
surat khabar yang dibeli Zarul. Bila Alia sudah pasti Ikwan telah pergi barulah
Alia tercangak-cangak mencari kelibat lelaki itu. Perasaannya bercampur baur.
Dia pun tidak tahu mengapa dia mengelakkan diri dari bersemuka dengan Ikwan.
Biarlah hubungan mereka berlalu bagai angin yang datang menyapanya untuk
seketika. Rasanya tak perlu lagi Alia hendak berperang besar dengan Ikwan atau
Helina. Alia sedar siapa dirinya. Kalau nak rajuk biar pada yang sayang, kalau
orang dah tak sudi buat apa Alia nak terhegih-hegih menagih perhatian Ikwan.
Namun jauh di sudut hati Alia, dia merasa cukup pedih dan sengsara. Cinta yang
mekar di hatinya itu bukannya mudah hendak dibuang dalam sekelip mata!
Ketika
dia sibuk merenungi nasib diri, tiba-tiba Zarul muncul mengetuk cermin kereta.
Di belakangnya kelihatan Ikwan yang memandangnya dengan wajah penuh misteri.
Alia segera membuka tingkap.
“Kakak.. saya telah
diterima bekerja di sini.. emn! Ni lah bos saya.. katanya nak jumpa kakak..”
kata Zarul sambil tersenyum simpul. Hati Alia menjadi tidak keruan. Dia
memandang muka Zarul dan Ikwan silih berganti.
“ Emn.. boleh kita cakap
sendirian..?” Kata Ikwan dengan tenang.
Alia terasa lidahnya kelu.
Dia yakin, Ikwan mahu berterus terang dengannya kini. Terasa air mata mula
bertakung di bibir matanya. Alia mengangguk perlahan.
“Lia naik kereta Wan?”
Ikwan membuka pintu keretanya. Alia angguk lagi. Dia segera keluar dari kereta
kancilnya dan masuk ke dalam kereta Honda Ikwan.
“Zarul balik dulu lah!”
kata Alia pada Zarul. Zarul agak kehairanan kerana bakal bosnya mengajak kakak
sepupunya masuk ke dalam keretanya pula. Tapi Zarul tidak membantah. Dia masuk
ke dalam kereta dan beredar.
“Kita pergi tempat biasa?”
kata Ikwan lembut. Alia tidak menyahut. Dia hanya terbayang puncak bukit di
mana mereka selalu menghabiskan masa bersantai di situ. Dengan membawa sedikit
bekalan, mereka seolah-olah berkelah di puncak bukit itu. Tapi itu dulu,
sebelum kehadiran Helina. Alia yakin, Ikwan hendak bercakap tentang hubungan
mereka pada hari ini. Mungkin hari ini adalah hari terakhir mereka mengunjungi
puncak bukit yang indah itu.
“Kenapa diam?”
Alia
menoleh memandang Ikwan. Ikwan melirik padanya sambil terus memandu. “ Emn..
tak ada apa..” Sahut Alia malas.
Sebenarnya
dia mahu meluahkan segala yang berbuku di hatinya. Dia mahu tanya tentang
Helina dan mengapa Ikwan merahsiakan hubungannya dengan Helina selama ini. Alia
ingin sekali mengamuk dan meradang atas sikap Ikwan yang mempermainkan hati dan
perasaannya. Namun, Alia hanya membisu, dia tidak tahu hendak berkata apa
kepada Ikwan. Cintanya pada Ikwan begitu dalam dan Alia pasrah jika terpaksa
mendengar khabar buruk itu hari ini.
Sepuluh
minit kemudian mereka sampai di puncak bukit. Suasana tenang dan dingin. Tapi
hati Alia semakin ketakutan. Takut menghadapi kata-kata perpisahan dari Ikwan.
Ikwan kejam kerana mempermainkan harga dirinya. Alia tidak mahu kelihatan bodoh
dengan mengamuk atau melenting pada Ikwan yang nyata menjadikannya sebagai
boneka mainan. Itulah tekad Alia. Alia ingin terus bersabar!
“ Kenapa diam saja dari
tadi Lia..?” tanya Ikwan lagi. Dia memandang mata Alia seolah-olah mencari-cari
sesuatu di situ. Wajah Alia muram saja. Tidak ada apa-apa di matanya kecuali
kedukaan.
“Cakaplah apa yang Wan nak
cakap..” ujar Alia membuang pandangannya dari wajah Ikwan. Ikwan menarik nafas
berat. Sukar untuk memulakan kata-kata.
“ Wan tahu, Alia kecil
hati kerana Wan seolah-olah menjauhkan diri dari Lia.. maafkan Wan..” Ikwan
mula membuka kata-kata. Alia mengigit bibir menahan sendu di hatinya.
“Lia pun tidak mahu
menghubungi Wan lagi.. Lia juga seolah-olah tidak mahu ambil tahu tentang Wan
lagi..” Sambung Ikwan.
Alia
terus membisu, dia enggan berkata apa-apa. Biarlah Ikwan menyampaikan kata-kata
terakhirnya sebelum mereka berpisah. Alia bersiap untuk mendengar kebenaran
yang pasti menyakitkan itu.
“Biarlah Wan berterus
terang dengan Lia…”
Alia
segera membelakangkan Ikwan. Dia tahu apa yang bakal didengarnya. Airmatanya
sudah luruh. Ikwan tidak menyedari airmata itu kerana Alia segera
menyembunyikan wajahnya dengan menghadap hutan yang tebal.
“
Wan..” suara Alia serak. “ Boleh tak Wan tak payah cakap apa yang Wan nak
cakap..” Alia masih membelakangi Ikwan. Suaranya bergetar, Ikwan mula perasan
ada pergolakan dalam perasaan Alia. Dia ingin sekali memujuk.
“ Lia.. Wan tahu Lia
merajuk! Wan tahu Wan salah.. Kita berdamai o.k?”
Alia
segera berpaling ke arah Ikwan. Ikwan terharu melihat airmata Alia yang
bercucuran itu. “Sampai hati Wan.. Lia tahu Lia tak sepadan dengan Wan, tapi
kenapa Wan tak terus terang dengan Lia? Sepatutnya Wan tak perlu minta maaf dengan
Lia.. biarkan saja Lia! Kawin sajalah dengan kekasih hati Wan tu.. sampai hati
Wan permainkan perasaan Lia..” Tersembur keluar semua yang berbuku dihatinya.
Wajah Ikwan nampak terkejut.
“Kenapa?
Wan tak sangka Lia sudah tahu hubungan Wan dengan Helina? Wan fikir Lia tak
tahu Wan nak bertunang dengannya? Cukuplah Wan.. jangan nak siksa hati Lia
lagi..” Ucap Alia separuh menjerit. Ikwan tercengang memandangnya.
“ Mana Lia dapat cerita
ni?”
“ Itu tak penting.. yang
penting mengapa Wan permainkan perasaan Lia.. kenapa Wan mahu bersama Lia
sedangkan Wan dah ada Helina..”
“ Lia.. Lia.. Lia! Wan tak
faham.. mana Lia dapat cerita Wan nak tunang dengan Helina, sumpah Lia! Dia
cuma kawan baik Wan dari kecil lagi. Dia bukan kekasih Wan!”
Alia mula diam, tangisnya
reda mendengar kata Ikwan. Mereka berpandangan.
“Betul..?” tanya Alia
sambil mengesat airmatanya. Ikwan angguk.
“Tapi kenapa Wan tak
kenalkan Lia dengan dia? Kenapa Wan jauhkan diri sejak dia datang?” Wan tarik
nafas berat. Dia melangkah ke keretanya dan mengambil sesuatu.
“Nah!”
Beberapa
keping gambar dihulurkan kepada Alia. Alia membelek semua gambar itu. Semuanya
gambar dia bersama Zarul, ketika dalam kereta, di jalan raya dan di perkarangan
rumah.
“Kenapa ada gambar Lia dan
Zarul..?” tanya Alia tidak faham.
“Kerana
gambar inilah Wan menjauhkan diri dari Lia.. beberapa minggu lepas, satu surat
dikirimkan pada Wan. Dalam surat itu ada gambar Lia dan Zarul. Kononnya Zarul
adalah tunang Lia.. Lia telah ditunangkan oleh keluarga Lia.. Wan pun frust la
bila dapat tahu..” cerita Ikwan dengan tenang.
“Tapi kenapa Wan tak tanya
pada Lia?” Kata Alia dengan wajah yang lebih cerah. Sisa-sisa airmata sudah
hilang.
“Itulah
silap Wan! Wan mahu Lia sendiri yang berterus terang dengan Wan.. tapi Lia
sikit pun tidak cakap apa-apa, Zarul tinggal serumah dengan Lia .. tapi sedikit
pun Lia tidak memberitahu Wan.. tentulah Wan salah faham. Wan geram, marah dan
benci pada Lia sebab tu Wan malas nak layan Lia.. malas nak sambut call Lia..
Manalah Wan tahu Zarul tu adik sepupu Lia.. mujurlah dia datang temuduga tadi,
Wan masih cam muka Zarul dalam gambar tu. Wan memang nampak Lia dalam kereta
tunggu Zarul tadi, tapi Wan tak tegur Lia kerana Wan masih salah faham dengan
Lia, tapi lepas temuduga Zarul tadi, Wan tanya Zarul siapa gadis yang tunggu
dalam kereta? Barulah Wan tahu Zarul adalah adik sepupu Lia.. barulah Wan tahu
selama ni Wan salah faham dengan Lia.. Wan nak minta maaf, Lia?”
Alia
termangu mendengar cerita Ikwan. Rupanya ada kisah yang diluar jangkaannya.
Siapa pula yang mengambil gambarnya dengan Zarul dan mengatakannya bertunang?
Alia keliru.
“Wan tak tunang dengan
Helina?”
“Sumpah tidak! Siapa yang
cakap ni..”
“Harun.. sepupu Helina!
Katanya Wan memang kekasih Helina sebelum Wan bersama Lia lagi.. katanya tak
lama lagi Wan akan bertunang dengan Helina.. Lagi pun Wan semakin menjauhkan
diri dari Lia sejak dia datang..” jelas Alia. Dia mula ragu dengan kata-kata
Harun.
“Mestilah
Wan jauhkan diri dari Lia masa tu, sebab Wan marah pasal gambar Lia dengan
Zarul.. Wan malas nak kenalkan Lia dengan Helina kerana masa tu Wan benar-benar
salah sangka pada Lia.. maaf ye sayang..” Ikwan menarik tangan Alia dan
memandang tepat ke matanya. Alia angguk sambil menarik nafas lega. Dia
menyangka Ikwan hendak memutuskan hubungan tapi kini sebaliknya.
“Memang
benar Harun tu sepupu Helina, tapi hairan mengapa dia nak menghancurkan
hubungan kita pula?” Kata Ikwan penuh tanda tanya. Alia angkat bahu. Kini
hatinya lega. Gadis cantik itu ternyata tidak ada apa-apa hubungan cinta dengan
Ikwan. Rupanya semua masalah itu hanyalah salah faham dan fitnah orang lain.
Cemburunya pada gadis itu hilang serta merta.
“Dan
hairan.. siapa pula yang ambil gambar Lia serta hantar kat Wan? Sudah jelas ada
orang yang mahu musnahkan hubungan kita?” Kata Alia pula.
“Ya! Mungkin Harun juga?”
Alia mengganguk tanda setuju dengan kata-kata Ikwan itu. mereka berpandangan.
Saling tersenyum. Mereka tidak peduli apakah motif Harun, yang paling penting
kini mereka sudah kembali bersama.
“Maaf ya?” tanya Ikwan
sekali lagi.
“Lia juga..” Balas Alia.
“Sia-sia
saja Wan bencikan Lia.. tahu-tahu cuma salah faham..” Kata Ikwan sambil ketawa
kecil. Teringat akan sikapnya beberapa minggu yang lepas. Seluruh isi rumah
menjadi tempatnya melepaskan marah. Berbakul-bakul leteran ibu kepadanya kerana
sikapnya menjadi garang tidak tentu pasal. Anak-anak buahnya di pejabat pun
tidak berani curi tulang, takut pada Ikwan yang tidak semena-mena bertukar
angin. Bos yang dulunya peramah dan mesra menjadi bengis tak menentu. Pantang
silap sikit adalah yang kena marah! Semuanya pasal gambar yang diterimanya itu.
Helina pun selalu merungut dengan perangainya yang selalu berubah angin. Hendak
berlawak jenaka pun susah. Kalau senyum pun bagaikan terpaksa!
“BenarkahWan bencikan
Lia?” Tanya Alia menduga.
“
Ya! Benci sangat.. benci tapi rindu..ha ha ha.. merana betul Wan menanggung
rindu tidak jumpa Lia beberapa minggu. Kadang-kadang Wan harap Lia akan call
atau SMS Wan.. tapi bila buka handset.. sunyi saja..” luah Ikwan tentang
perasaannya ketika musim dingin hubungan mereka.
“Lia juga.. nak call Wan..
tapi teringat Helina mungkin sedang bersama Wan..” Ujar Alia pula, mereka
tertawa bersama. Rupanya mereka sama saja, cemburu buta!
“Zarul cakap Lia tak sihat?
Minta hantar balik rumah..” tanya Ikwan dengan muka bimbang. Muka Alia memang
pucat saja tadi.
“Emn..” Alia tersenyum
nipis. Kini dia kelihatan berseri-seri.
“Lia sakit apa?” tanya
Ikwan lagi sambil sentuh dahi Alia.
“Sakit hati..” jawabnya
dengan menahan senyum.
“Oh..
rupanya! Sakit hati kenapa boleh senyum?” ujar Ikwan setelah mendapat tahu. Dia
turut senyum meleret. Alia hanya menolak bahu Ikwan dengan manja. Ikwan tertawa
melihat riaksi Alia.
“Lia..” Panggil Ikwan
dengan suara romantis. Alia mendongak ke arah wajah lelaki yang dicintainya
itu. Rindu benar hatinya pada Ikwan. Mujurlah semuanya sudah berubah baik.
“Emn..”
“Jom kita kawin?”
Mata Alia terbelalak. Dia
menatap wajah Ikwan minta kepastian akan lamaran yang tiba-tiba itu.
“Kenapa? Tak sudi?”Tanya
Ikwan lagi.
“Wan lamar Lia?” Angguk.
“Bunga? Cincin? Takkan nak
lamar macam ni saja?” usik Alia dengan senyum nakal. Ikwan ketawa besar. Dia
menarik Alia masuk ke dalam keretanya. Alia kehairanan.
“Jom kita pergi beli bunga
dan cincin!!” balas Ikwan sambil masuk ke dalam perut kereta. Kereta meluncur
laju menuju ke bandaraya.
“Mulai saat ini.. kalau
ada apa-apa masalah, kita mesti bincang! Jangan simpan sendiri dalam hati..
o.k?” bisik Ikwan sambil memimpin tangan Alia menuju ke kedai bunga terhampir.
Alia mengangguk. Wajahnya penuh dengan senyuman bahagia. Dugaan seperti itu
mungkin datang lagi. Tapi kalau saling cinta menyintai, kalau saling kasih
mengasihi dan kalau saling mempercayai antara satu sama lain, apa pun dugaannya
pasti dapat diredah bersama. Ternyata dugaan cinta itu berlalu juga!